Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 25 Jamadilawal 1447 bersamaan 15 November 2025–Dalam Islam, konsep Qawwam merujuk kepada peranan lelaki sebagai pemimpin keluarga yang bertanggungjawab, penyayang, berhemah serta menjaga kesejahteraan keluarganya dengan penuh hikmah. Kekuatan lelaki sejati, menurut agama tidak menafikan keperluan untuk mengurus emosi atau mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Masyarakat juga perlu lebih memahami realiti kerentanan jiwa yang dialami oleh lelaki di sebalik tekanan dan tuntutan sosial yang tinggi. Meneladani akhlak Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang penuh empati, bersikap terbuka dan sentiasa bermusyawarah, tiga tindakan utama perlu diberi perihatian: pertama, lelaki digalakkan mencari bantuan ketika mengalami tekanan; kedua, keluarga wajar mewujudkan ruang dialog yang selamat di rumah; dan ketiga, masjid disarankan untuk berfungsi sebagai pusat sokongan komuniti yang mesra terhadap isu kesihatan mental. Lelaki sejati bukanlah lelaki yang tidak pernah lemah, tetapi yang berani memperbaiki kelemahan diri, memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan mendapatkan sokongan daripada orang di sekelilingnya.
Demikian antara pekara yang ditekankan di dalam Tazkirah bertajuk Lelaki Sejati dalam Islam: Kekuatan Qawwam dan Realiti Kerentanan Jiwa yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Calon Doktor Falsafah (Psikologi Islam), Jabatan Hal Ehwal Syariah bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-207 dengan kerjasama Pusat Perubatan Jerudong Park bersempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki 2025.
Acara Munajat pada malam tadi menyaksikan penyertaan daripada para pegawai dan kakitangan Pusat Perubatan Jerudong Park yang bersiaran secara maya dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong. Turut serta, para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu dari kediaman masing-masing.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dr Haji Awang Zulkhairi bin Haji Mohamad, Ketua Jabatan Perubatan Onkologi dan Unit Paliatif, Pusat Kanser Brunei, Pusat Perubatan Jerudong Park.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Rusydi bin Haji Morsidi, Eksekutif Pentadbiran Pusat Perubatan Jerudong Park. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ishkandar bin Haji Buntar, Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Ketua Guru Ugama, Pusat Perubatan Jerudong Park. Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai oleh para pegawai dan kakitangan Pusat Perubatan Jerudong Park. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Yadiy bin Haji Yussof, Imam Tingkat III, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
