Bandar Seri Begawan, Sabtu, 24 Jamadilawal 1447 bersamaan 15 November 2025–Bagi meningkatkan kemahiran serta mengukuhkan budaya bertutur Bahasa Arab dalam kalangan pelajar persekolahan Arab, pagi tadi Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah mengadakan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) bertemakan Akhlak Mahkota Ulama: Meneladani Mereka, Meningkatkan Martabat Diri bertempat di sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis, Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Diikuti Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad, Pengetua Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah.
Antara pengisian atur cara termasuk perasmian program, persembahan lagu Hayya Ilal 'Arabiyyah, persembahan tausyeh serta lawatan ke petak-petak aktiviti.
Program Hayya Ilal 'Arabiyah (Mari Berbahasa Arab) merupakan salah satu usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengajian Islam melalui sekolah-sekolah Arab bagi memperkukuh penguasaan pelajar dalam Bahasa Arab. Program ini turut berperanan sebagai wadah praktikal untuk para pelajar mengaplikasikan Bahasa Arab dalam pelbagai aktiviti kokurikulum yang menarik dan menyeronokkan. Selain itu, pelaksanaan program ini membantu meningkatkan keyakinan diri pelajar dalam bertutur serta menggunakan Bahasa Arab dengan lebih fasih dan berkesan.