Tutong, Sabtu, 24 Jamadilawal 1447 bersamaan 15 November 2025–Surah Al-Fatihah merupakan surah pertama dalam Al-Quran dan menjadi bacaan wajib dalam setiap rakat solat fardhu serta solat sunat. Surah ini turut dikenali sebagai Ummul Kitab kerana menghimpunkan intipati ajaran Islam yang merangkumi pengagungan dan pujian kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, permohonan hidayah, serta penegasan dalam mengikuti jalan yang benar.
Sehubungan dengan itu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Mukim Kiudang dan Pejabat Hal Ehwal Masjid, Daerah Tutong dengan kerjasama Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Bengkel Surah Al-Fatihah bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah dan Jemaah Masjid. Bengkel diadakan pada pagi tadi bertempat di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Mukim Kiudang.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Juga hadir, Yang Mulia Ustaz Zulkifli bin Haji Murat, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid; Yang Mulia Awang Haji Kamaruzzaman bin Haji Jakar, Pemangku Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Yang Mulia Haji Mahari bin Haji Metussin, Imam Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Mukim Kiudang selaku Pengerusi Bersama; Yang Mulia Awang Haji Aidil Sofian bin Haji Mohd Yassin, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong; Yang Mulia Awang Haji Khairulizam bin Haji Jefri, Penghulu Mukim Kiudang; Yang Mulia Awang Muhammad Rifae bin Haji Abd Rahim, Ketua Kampung Kiudang dan Pad Nunok; dan Yang Mulia Dato Paduka Haji Aziyan bin Abdullah selaku Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Mukim Kiudang.
Seramai 70 orang yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah serta jemaah masjid telah menyertai bengkel tersebut. Manakala fasilitator program ialah Yang Mulia Awang Haji Mohd Daud bin Haji Abd Kadir.
Bengkel dibahagikan kepada 2 sesi iaitu sesi teori serta latihan bacaan secara berkumpulan, dan sesi tasmik secara perseorangan. Sementara isi kandungan bengkel termasuklah penjelasan mengenai pengertian Tahsin, pengenalan dan pengukuhan hukum tajwid, kepentingan bacaan Surah Al-Fatihah dalam solat, contoh bacaan oleh Qari atau imam yang masyhur, jenis-jenis kesalahan yang lazim dalam bacaan Al-Quran, sesi Tahsin secara berkumpulan dan individu, penerangan hukum tajwid dalam bacaan Surah Al-Fatihah serta penerapan variasi lagu secara murattal.
Dengan penganjuran Bengkel Surah Al-Fatihah ini diharapkan menjadi satu peluang berharga dalam meningkatkan mutu bacaan Al-Fatihah dalam kalangan pemimpin komuniti masjid, di samping memberi impak positif kepada kualiti ibadah khususnya solat.



Foto; JHEM