Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM PEJUANG FAJR KALI KE-17: QUR’AN CONNECT: ONLINE DENGAN ALLAH SETIAP HARI

14 November 2025

PROGRAM PEJUANG FAJR KALI KE-17: QUR’AN CONNECT: ONLINE DENGAN ALLAH SETIAP HARI

Rimba, Jumaat, 23 Jamadilawal 1447 bersamaan 14 November 2025–Dalam usaha menyemai semangat kebersamaan dan memupuk kefahaman beragama dalam kalangan masyarakat serta mengimarahkan masjid, Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan lagi penganjuran Program Pejuang Fajr Kali Ke-17 yang kali ini membawa tema Qur'an Connect: Online Dengan Allah Setiap Hari.

Program yang diadakan pada awal pagi tadi bertempat di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba menghimpunkan seramai 270 orang peserta terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, guru-guru dan pelajar-pelajar Sekolah Alif Rimba, belia masjid, alumni Akademi Da'wah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), penduduk Kampung Rimba serta orang ramai.

Hadir sama di program tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Adnan bin Awang Haji Bagol, Penghulu Mukim Gadong 'A' dan Pemangku Ketua Kampung Kawasan 1, Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba.

Acara dimulakan dengan sesi Qiyamullail yang diketuai oleh Belia Da'ie, diikuti dengan solat Subuh berjemaah dan bacaan zikir pagi yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei merangkap tenaga pengajar Sekolah Alif Rimba. Program turut diserikan dengan Tazkirah Subuh bertajuk Qur'an Connect: Online Dengan Allah Setiap Hari disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah. Antara intipati ceramah yang dikongsikan ialah penekanan kepada pembudayaan amalan membaca Al-Qur'an sebagai amalan rutin harian, sama ada selepas menunaikan sembahyang Fardhu Subuh atau sebelum tidur. Membaca Al-Qur'an diibaratkan kita berkomunikasi dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana ayat-ayat suci Al-Qur'an merupakan kalamullah. Setiap huruf pada ayat-ayat Al-Qur'an yang dilafazkan turut dijanjikan ganjaran yang besar kepada pembacanya. Ceramah juga menekankan kepentingan memahami dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Qur'an agar penghayatannya lebih mendalam, seterusnya membolehkan pengajaran yang diperoleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, turut diadakan program berkonsepkan Menghayati Al-Qur'an dalam Kehidupan khusus untuk pelajar-pelajar Sekolah Alif Rimba. Program ini menyediakan tiga aktiviti utama yang kreatif dan berasaskan nilai Islam, iaitu: Aktiviti 1 This or That yang menguji kefahaman pelajar tentang adab dan pilihan berlandaskan ajaran Al-Qur'an; Aktiviti 2 Qur'an Says yang menggabungkan elemen permainan dengan penerapan nilai akhlak seperti syukur, kasih sayang dan hormat; dan, Aktiviti 3 Mystery Box menekankan semangat berpasukan melalui hafazan dan permainan word search berasaskan ayat-ayat Al-Qur'an. Fasilitator bagi program ini terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pejuang Fajr bersama Sekolah Alif Rimba. Rakaman penuh Program Pejuang Fajr Kali Ke-17 boleh disaksikan melalui Instagram rasmi Belia Da'ie.

 

​Foto: PDI​