Gadong, Khamis, 22 Jamadilawal 1447 bersamaan 13 November 2025–Sejak awal Januari hingga 12 Oktober tahun ini, seramai 226 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam. Jumlah tersebut bertambah kepada 227 orang apabila seorang lelaki berbangsa Filipina memeluk agama Islam pada pagi tadi. Daripada jumlah tersebut, 117 orang terdiri daripada Daerah Brunei Dan Muara.
Jose Paulo Yandan Lindo, 41 tahun, kini memilih Islam sebagai pegangan hidupnya dan telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan di Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba, Gadong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Jose Paulo Yandan Lindo, yang memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Ihsan Lindo bin Abdullah.
Majlis Pengislaman disempurnakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan. Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.
Majlis Pengislaman menzahirkan bahawa Islam merupakan agama yang suci, penuh kasih sayang dan terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa atau latar belakang. Ia menjadi bukti bahawa dakwah Islamiah terus diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.




Foto: PDI