Berakas, Khamis, 22 Jamadilawal 1447 bersamaan 13 November 2025–Seramai sepuluh (10) orang peserta iaitu 5 orang Qari dan 5 orang Qariah telah berjaya mara ke Peringkat Akhir Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi setelah menamatkan pertandingan di Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan selama tiga (3) hari berturut-turut bermula pada 10 hingga 12 November 2025.
Musabaqah ini telah menarik penyertaan seramai 68 orang peserta terdiri daripada 54 orang Qari dan 14 orang Qariah yang telah memperdengarkan bacaan masing-masing di Musabaqah tersebut.
Majlis Pengumuman Keputusan bagi Musabaqah berkenaan diadakan petang tadi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahuddin, Ahli Majlis Ugama Islam Brunei: Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan pengerusi-pengerusi bersama; ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Afiq Haririe bin Haji Md Daud, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Kasat. Diikuti dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, Pengarah Pentadbiran, Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Bersama Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis diteruskan dengan Pengumuman Keputusan Musabaqah oleh Yang Mulia Awang Mohd Ali Sabri bin Haji Yusof, Timbalan Pengetua, Diploma 'Aliyah Qira'at, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Nasyid bertajuk “Negara Zikir Amalkan Al-Qur'an" oleh Kumpulan Firqah Al-Khalil dan disusuli dengan persembahan bacaan Al-Qur'an oleh wakil peserta yang terpilih ke Peringkat Akhir.
Seterusnya, Penyampaian Hadiah dan Cenderamata kepada para peserta dan ahli Jemaah Hakim Musabaqah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Afiq Haririe bin Haji Md Daud, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Kasat.
Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan merupakan projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan Peringkat Saringan Kebangsaan, diikuti dengan Peringkat Separuh Akhir dan seterusnya Peringkat Akhir Kebangsaan.
Penganjurannya bertujuan untuk memberi pendedahan dan dorongan kepada para Qari dan Qariah negara dalam mempertingkatkan mutu bacaan Al-Qur'an, menggalakkan masyarakat Islam di negara ini mendalami ilmu tajwid dan kaedah bacaan yang betul, serta memupuk kecintaan terhadap Al-Qur'an sebagai panduan hidup.
Dengan penganjuran Musabaqah ini juga diharapkan ia terus menjadi platform yang berprestij dalam melahirkan lebih ramai Qari dan Qariah berkualiti serta memperkukuh usaha negara dalam memartabatkan syiar Islam dan penghayatan Al-Qur'an di Negara Brunei Darussalam.













Foto: SkiPPA BPAAM