Bandar Seri Begawan, Khamis, 22 Jamadilawal 1447 bersamaan 13 November 2025–Seramai lapan (8) orang Muslimah daripada Kelas Bimbingan Muslimah Masjid yang mewakili lima (5) zon di Daerah Brunei dan Muara menyertai Kelas Kemahiran Menjahit bertempat di Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kelas kemahiran ini diadakan selama lapan (8) hari bermula pada 03 November dan berakhir pada 13 November 2025.
Antara objektif penganjuran kelas tersebut ialah untuk memberikan pendedahan asas dalam bidang kemahiran menjahit kepada para peserta di samping melahirkan individu yang berdaya saing serta berpotensi menjana pendapatan melalui pekerjaan mahupun secara berdikari dengan menceburi bidang perniagaan jahitan.
Fasilitator bagi kelas ini ialah Yang Mulia Dayang Agitah binti Haji Lampong, Pelatih Kursus Kemahiran Rekaan Fesyen Teknologi, Pusat Pembangunan Belia.
Turut serta dalam kelas berkenaan ialah Yang Mulia Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin, Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sijil Kelas Kemahiran Menjahit telah diadakan pada petang tadi bertempat di Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Awang Haswandi bin Haji Osman, Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kelas berkenaan diungkayahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Semoga dengan penganjuran kelas seumpama ini akan dapat memberikan kemahiran asas kepada para Muslimah masjid serta komuniti setempat, di samping menjadi nilai tambah kepada kebolehan dan potensi golongan sasaran.



Foto: JHEM