Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGISLAMAN BAGI SEORANG WANITA PUAK DUSUN  (AZALINA BINTI LANGKAN)

30 October 2025

MAJLIS PENGISLAMAN BAGI SEORANG WANITA PUAK DUSUN (AZALINA BINTI LANGKAN)

Pulaie, Khamis, 08 Jamadilawal 1447 bersamaan 30 Oktober 2025-Seorang wanita puak Dusun, Azalina binti Langkan, berusia 51 tahun, telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan di Bilik Al-Muhtadiin, Tingkat 2, Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie pagi tadi.

Majlis tersebut dianjurkan dan dikendalikan oleh Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Pengembangan Da'wah sebagai usaha berterusan dalam menyebarkan syiar Islam dan memudah cara proses pengislaman bagi mereka yang berhasrat memeluk agama Islam.

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awang Haji Muhammad Danial @ Tek Pin bin Yaakub, Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong, serta Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman, Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Azalina binti Langkan, yang kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Nur Aza Lina binti Langkan. Pengislaman tersebut disempurnakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah.

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan, diserikan dengan Dikir Marhaban, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.

Sejak awal Januari hingga 30 Oktober 2025, seramai 217 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam. Daripada jumlah tersebut, seramai 109 orang adalah dari Daerah Brunei dan Muara.

 

Foto: PDI