Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 11 Jamadilawal 1447 bersamaan 01 November 2025–Setiap perjalanan bermula dengan niat. Sepertimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam: “Innamal a'mālu binniyyāt" yang bererti sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan memudahkan baginya jalan menuju syurga (Hadis Riwayat Muslim). Manakala Perantauan bukan sekadar berpindah tempat, tetapi sebuah madrasah kehidupan yang mengajar erti sabar, berdikari, disiplin, dan rendah hati. Tarbiyah pula bukan hanya berlaku di dalam kelas, tetapi terserlah dalam setiap ujian seperti kesejukan musim, rindu kepada keluarga, pengurusan masa, dan kekuatan iman. Setiap pengalaman di bumi asing adalah guru yang mendidik seperti bahasa, budaya, hingga masyarakat setempat semuanya menyumbang kepada pembentukan jiwa yang matang dan berempati. Solat, zikir, dan majlis ilmu menjadi benteng rohani yang menjaga iman dan identiti. Ilmu yang ditimba bukan untuk diri sendiri semata-mata, tetapi merupakan amanah untuk kembali membina masyarakat. Oleh itu, pulanglah bukan hanya dengan segulung sijil, tetapi dengan hikmah, akhlak, dan jiwa yang terdidik, itulah sebenar-benarnya kejayaan seorang musafir ilmu.
Demikian antara intipati Tazkirah bertajuk Musafir Ilmu: Dari Tanah Air Ke Bumi Tarbiyah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit, Calon Doktor Falsafah (Pengajian Hadis), University of Leeds, United Kingdom dari University of Leeds, United Kingdom bagi menyerikan Malam Munajat Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-205 Bersama Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Md Raihaan Zeyad bin Pengiran Md Amirul Sarni, President Student Ireland bersama dengan penuntut-penuntut University College Dublin, Ireland dari University College Dublin, Ireland.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Ifwat Danish bin Adri, Timbalan Eksekutif Serantau bagi Tadahan North bersama dengan penuntut-penuntut Lancaster University, United Kingdom dari Lancaster University, United Kingdom. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Royzime bin Alias, Ataci Pendidikan Pegawai Keugamaan bersama Pegawai Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam, Pengurus Brunei House serta Pegawai Agensi Pelaburan Brunei Cawangan London dan Pegawai Unit Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam dari Brunei House, London, United Kingdom.
Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat As-Syifa beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amin Hakim bin Haji Sabri, President Brunei Hall, United Kingdom bersama dengan Penuntut-Penuntut Brunei Hall dan Brunei House dari Brunei House, London, United Kingdom.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Sahzwan bin Lamat, Yang Di-Pertua BruROSA 2025/2026, dari Loughborough University, United Kingdom.
Acara Munajat pada malam tadi turut disertai oleh para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama serta individu secara maya dari kediaman masing-masing.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
