Bandar Seri Begawan, Ahad, 27 Rabiulakhir 1447 bersamaan 19 Oktober 2025–Masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, tetapi merupakan pusat komuniti yang holistik serta menjadi lambang kedaulatan negara. Ia juga berfungsi sebagai medan penyatuan ummah, penyebaran ilmu, dan pembangunan masyarakat. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda bahawa apabila seorang Muslim meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga (3) perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya. Justeru, jelaslah bahawa masjid ialah lambang kedaulatan negara yang memainkan peranan penting dalam ketiga-tiga bentuk amal tersebut iaitu sebagai tempat menyemai ilmu, menyalurkan sedekah dan membentuk generasi soleh.
Perkara tersebut antara yang dijelaskan dalam Tazkirah Subuh bertajuk Masjid Lambang Kedaulatan Negara disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' Sempena 67 Tahun Masjid Omar 'Ali Saifuddien dan Walkathon Sempena Sambutan Hari Guru Ke-35, Tahun 2025 yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan wirid serta Tazkirah Subuh.
Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan mengajak umat Islam di negara ini untuk memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan. Di samping membentuk masyarakat yang berdisplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat “Negara Zikir" dan “Negara Berkat" melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.




Foto: JHEM