Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MASJID OPEN DAY SEMPENA MEMPERINGATI 67 TAHUN MASJID OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN

19 October 2025

MASJID OPEN DAY SEMPENA MEMPERINGATI 67 TAHUN MASJID OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN

Bandar Seri Begawan, Ahad, 27 Rabiulakhir 1447 bersamaan 19 Oktober 2025–Masjid Omar 'Ali Saifuddien yang kini berusia 67 tahun merupakan salah satu mercu tanda penting dalam aspek agama, budaya dan sejarah Negara Brunei Darussalam.

Sempena Memperingati 67 Tahun Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien pagi tadi menganjurkan program Masjid Open Day di masjid berkenaan. Penganjuran program tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat umum, pelancong dan generasi muda untuk mengenali lebih dekat masjid yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, bahkan juga sebagai penyebaran ilmu serta pengukuhan ukhuwah Islamiah. Di samping itu, program ini turut dihasratkan untuk menarik penglibatan masyarakat termasuk kanak-kanak, golongan belia dan pelancong dalam aktiviti masjid, serta memperkenalkan seni, budaya dan warisan Islam melalui pelbagai acara seperti persembahan Dikir dan Tausyeh, serta pertunjukan silat yang diadakan di luar perkarangan masjid.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang seterusnya merasmikan Program Masjid Open Day.

Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program yang diadakan hingga sebelah petang itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Lawatan Masjid (Masjid Tour), sesi mendengarkan laungan azan dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, demonstrasi tatacara sembahyang dan berwudhu, aktiviti mewarna bertemakan masjid dan seni Islam, tayangan video mengenai sejarah Masjid Omar 'Ali Saifuddien serta pameran seni kaligrafi khat.

Dengan penganjuran Masjid Open Day ini adalah diharap akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat dengan masjid, di samping memupuk kecintaan terhadap rumah Allah serta memperlihatkan keindahan Islam kepada masyarakat antarabangsa.

 

 

 


Foto: JHEM