Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 27 Rabiulakhir 1447 bersamaan 18 Oktober 2025–Setiap hamba perlu mengenali Allah Subhanahu Wa Ta'ala, mempelajari sifat-sifatNya. Dengan begitu, ia akan menimbulkan perasaan cinta kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang mendorong untuk melakukan amal soleh dan takut untuk melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Allah Subhanahu Wa Ta'ala sentiasa menerima taubat hambaNya selama mana hamba tersebut benar-benar tulus dalam taubatnya. Tidak sekadar mengucapkan istighfar, tetapi diiringi dengan pembuktian dengan memperbanyak amal soleh serta menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Islam melarang kita untuk menghina, mencaci dan merendahkan orang lain. Sekalipun seseorang itu pernah terjerumus dalam kesilapan, namun masyarakat perlu memberi galakan kepadanya agar ia sedar dan berusaha memperbaiki diri. Jangan sampai mereka merasa tersingkir kerana pada hakikatnya, setiap orang yang beriman itu adalah bersaudara dan tanda sempurna keimanan seseorang itu adalah menginginkan kebaikan untuk saudaranya sebagaimana ia menginginkan kebaikan untuk dirinya sendiri.
Demikianlah antara perkara yang disentuh daripada Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Pusat Tulin Lelaki, Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-203 Sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dan Pengedaran Dadah Haram 2025.
Program Munajat malam tadi disemarakkan oleh warga kerja Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri. Turut menyertai, para jemaah dari beberapa buah masjid, dan warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama serta individu dari kediaman masing-masing.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail, Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri dari Ibu Pejabat Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri, Jalan Tungku, Gadong.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohamad Abu Nor Ali Shamsul bin Mohammad, Komandan Pusat Al-Islah / Pemangku Penolong Pengarah Divisyen Rawatan dan Pemulihan Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri dari Surau Pusat Tulin Lelaki, Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Osmawadi bin Haji Talip, Pegawai Pelajaran / Guru Bahagian Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Biro Kawalan Narkotik Daerah Temburong. Selesai Tazkirah, disusuli dengan laungan Selawat As-Syifa beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Jemaah Penasihat Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik bersama Residen Lelaki di Pusat Al-Islah dari Surau Pusat Tulin Lelaki, Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Rozaini bin Haji Abdi Manaf, Pegawai Pelajaran Bahagian Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Biro Kawalan Narkotik Kuala Belait.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
