Pulaie, Sabtu, 26 Rabiulakhir 1447 bersamaan 18 Oktober 2025–Sebagai usaha membudayakan pembacaan Al-Qur'an dalam kalangan pegawai dan kakitangan, selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir, serta menghidupkan budaya kerja berpasukan dalam menjayakan setiap program dan kerja kebajikan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Sumber Manusia, Perancangan dan Penyelidikan pagi tadi menganjurkan Majlis Khatam Al-Qur'an Pegawai dan Kakitangan Pusat Da'wah Islamiah Sempena Jubli Delima Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis ini diadakan bagi memperingati perasmian Pusat Da'wah Islamiah iaitu pada 1 Muharram 1406 Hijrah bersamaan 16 September 1985 Masihi, dan telah diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Selain itu, majlis ini juga bertujuan untuk menanam sikap menyanjungi dan memuliakan Al-Qur'an, di samping merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda serta meraih keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ia turut menggalakkan penglibatan pegawai dan kakitangan dalam aktiviti keagamaan agar dapat dijadikan amalan harian.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Selawat Tafrijiyyah dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat. Diikuti dengan bacaan Khatam Al-Qur'an dari Surah Adh-Dhuha hingga
Surah An-Nas yang dibawakan oleh 40 orang pembaca Al-Qur'an secara beramai-ramai. Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Syahirol Syafiq bin Rashid, Penolong Pegawai Ugama, dan bacaan Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Awang Abdul Mu'iz bin Haji Jahair, Pegawai Da'ie (SkiPPA), diikuti dengan Doa Khatam Al-Qur'an yang dibacakan oleh Tetamu Kehormat.
Majlis turut diserikan lagi dengan Dikir Marhaban dan diteruskan dengan penyampaian sijil khatam yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah.
Majlis ini diharap dapat membantu warga Pusat Da'wah Islamiah dalam memahami dan menghayati semua objektif yang telah digariskan dengan sempurna, khususnya dalam membudayakan pembacaan Al-Qur'an. Secara tidak langsung, ia juga dapat membentuk akhlak dan pekerti yang mulia warga Pusat Da'wah Islamiah.








Foto: PDI