Kuala Belait, Sabtu, 26 Rabiulakhir 1447 bersamaan 18 Oktober 2025–Al-Quran merupakan panduan utama bagi umat Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang mengandungi keterangan bagi membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Penghayatan terhadap bacaan serta pengamalan isi kandungannya berperanan penting dalam membentuk insan yang bertakwa dan menjadikan ajaran Al-Quran sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.
Bagi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala sempena memperingati Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Ahli Jawatankuasa Takmir Bahagian Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait telah melaksanakan program membaca Al-Quran sehingga khatam bermula sejak Januari 2025. Program ini dilaksanakan dengan niat memohon kesejahteraan dan kesihatan berpanjangan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.
Sehubungan itu, Majlis Khatam Al-Quran tersebut diadakan pada pagi tadi di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait. Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, Isteri Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama. Turut hadir, isteri-isteri Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, jemputan khas serta para peserta khatam.
Antara objektif penganjuran majlis ini adalah bagi menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir. Ianya sebagai pesambah istimewa kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam. Majlis ini juga dihasratkan untuk meraih keberkatan dan syafaat Al-Quran dengan membudayakan pembacaan serta menyemai semangat
cinta terhadap Al-Quran dan beramal dengannya. Selain itu, untuk mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan ahli kumpulan dari pelbagai agensi di Daerah Belait.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai diketuai oleh Yang Mulia Dayang Hajah Hamsiah binti Haji Mohd Husain, Pengawas Bahagian Muslimah Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN), Kampung Pandan. Diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Diteruskan dengan bacaan doa sebelum membaca Al-Quran, disusuli dengan bacaan surah Ad-Dhuha hingga surah An-Naas beramai-ramai oleh peserta khatam. Seterusnya, bacaan Takhtim dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Fatimahwati binti Haji Ahmad, Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN), Kampung Pandan dan kemudiannya, bacaan tahlil dan doa khatam.
Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban diketuai oleh Yang Mulia Dayang Zainah binti Haji Daud, Muslimah Masjid Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN), Kampung Pandan dan diselajurkan dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Tetamu Kehormat Majlis kepada ketua-ketua kumpulan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Dayang Hajah Zaliha binti Haji Ibrahim, Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).







Foto: JHEM