Jerudong, Jumaat, 25 Rabiulakhir 1447 bersamaan 17 Oktober 2025–Seramai 66 orang pelajar dari Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong (JIS) yang berjaya menamatkan persekolahan ugama Darjah VI menerima sijil masing-masing pada petang tadi dalam Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Tahun 1446H/2024M bagi Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong. Majlis tersebut diadakan di Art Centre, sekolah berkenaan.
Penganjuran majlis ini bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang hasil usaha gigih para pelajar Darjah VI, di samping menyemai semangat kecemerlangan dalam kalangan pelajar. Selain itu, ia juga dihasratkan untuk mengukuhkan sokongan dan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa serta komuniti dalam mendidik generasi berilmu dan berakhlak mulia.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, yang kemudiannya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan persembahan Tausyeh Qalamun Qadim dan Hafazan Surah Al-Mulk. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Noraidah binti Haji Tengah, Guru Besar Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong (JIS), dan disusuli ucapan daripada Yang Mulia Awang Nicholas Sheehan, Pengetua Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).
Majlis diteruskan dengan tayangan slide, diikuti dengan penyampaian sijil oleh Tetamu Kehormat. Acara turut diserikan dengan persembahan Tausyeh dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat serta sesi bergambar ramai.
Semoga para pelajar terus melangkah maju dengan semangat yang tinggi, berusaha mencapai kecemerlangan di masa hadapan, dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.