Lumapas, Khamis, 24 Rabiulakhir 1447 bersamaan 16 Oktober 2025-Sebagai salah satu inisiatif ke arah meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan pencapaian akademik murid-murid sekolah ugama, Jawatankuasa Pemimpin-Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV, Jabatan Pengajian Islam telah mengadakan Pertandingan Kuiz An-Najah yang disasarkan kepada murid-murid Darjah V dan VI sekolah-sekolah ugama kawasan Brunei IV.
Pertandingan Peringkat Akhir Kuiz tersebut diadakan di Sekolah Ugama Lumapas pada petang tadi.
Pertandingan tersebut telah disertai oleh 15 pasukan dari sekolah-sekolah ugama di Kawasan Brunei IV, dengan peringkat akhir menyaksikan perlawanan antara Sekolah Ugama Lumapas dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.
Pertandingan ini bertujuan untuk melahirkan murid-murid yang cemerlang dalam pelajaran, mengukuhkan penguasaan ilmu pengetahuan serta mempersiapkan mereka menghadapi peperiksaan akhir tahun yang bakal menjelang.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mu'izzah binti Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IV, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.