Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL PEPERIKSAAN SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH UGAMA (SSSRU) TAHUN 2024 BAGI SEKOLAH UGAMA BERIBI GADONG (PETANG)

16 October 2025

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL PEPERIKSAAN SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH UGAMA (SSSRU) TAHUN 2024 BAGI SEKOLAH UGAMA BERIBI GADONG (PETANG)

Beribi, Khamis, 24 Rabiulakhir 1447 bersamaan 16 Oktober 2025–Seramai 89 orang murid, terdiri daripada 44 orang murid lelaki dan 45 orang murid Perempuan Sekolah Ugama Beribi, Gadong (Petang) diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1446H/2024M yang dikendalikan oleh sekolah berkenaan petang tadi bertempat di Dewan Fathul Busyra, Sekolah Ugama Beribi, Gadong.

Penganjuran majlis antara lain bertujuan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar atas pencapaian cemerlang mereka serta kejayaan menamatkan persekolahan ugama sehingga tamat Darjah VI. 

Selain itu, majlis ini juga diadakan bagi menyemai semangat ingin berusaha dan berjaya dalam kalangan pelajar, di samping mengukuhkan sokongan dan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam mendidik generasi yang berilmu dan berakhlak mulia.

Hadir selaku Tetamu Khas majlis ialah Yang Mulia Awang Muhammad Fauzi bin Haji Zaini, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei III, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Sayyidul Istighfar, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Mulk. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Jamaliah binti Haji Yassin, Guru Besar Sekolah Ugama Beribi, Gadong, disusuli dengan ucapan daripada Tetamu Khas Majlis.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah yang disempurnakan oleh Tetamu Khas, termasuk penyampaian hadiah kecemerlangan kepada para pelajar yang terpilih. Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.

Semoga para pelajar terus melangkah maju dengan semangat yang tinggi serta berusaha mencapai kecemerlangan di masa hadapan, seterusnya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.​