Bandar Seri Begawan, Isnin, 21 Rabiulakhir 1447 bersamaan 13 Oktober 2025–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan tersebut telah menerima aduan berhubung dengan produk makanan Chicken Sisig with Calamansi, Jenama Purefoods.
Susulan daripada aduan berkenaan, pemeriksaan telah dijalankan ke atas produk berkenaan dan hasilnya mendapati bahawa produk tersebut disahkan mengandungi daging ayam yang sumber serta status halalnya adalah diragui, memandangkan produk tersebut tidak mempunyai pengiktirafan halal dari mana-mana Badan Pensijilan Halal yang diiktiraf.
Sehubungan itu, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah menasihatkan pemilik perniagaan yang menjual produk Chicken Sisig with Calamansi, keluaran Purefoods-Hormel Company, Inc. Philippines supaya segera mengasingkan produk berkenaan dan tidak mempamerkannya di ruangan jualan yang terdedah kepada orang awam.
Kementerian Hal Ehwal Ugama juga ingin mengingatkan kepada semua pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk makanan serta barang gunaan di negara ini agar sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang dijual kepada orang ramai di pasaraya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk yang halal dan suci tidak bercampur atau diletakkan bersama dengan produk yang tidak halal, demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini daripada terjebak menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.
Di kesempatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat dan keprihatinan mereka mengenai perkara ini.
Orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat tentang penjualan produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah menghubungi Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Foto: JHES