Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KURSUS ASAS HAJI DAN UMRAH BAGI TAHUN 1447H/2025M

14 September 2025

KURSUS ASAS HAJI DAN UMRAH BAGI TAHUN 1447H/2025M

Negara Brunei Darussalam, Ahad, 21 Rabiulawal 1447 bersamaan 14 September 2025–Sebagai usaha menyebarluaskan ilmu manasik Haji dan Umrah di samping mempersiapkan bakal jemaah Haji dari aspek fizikal, rohani dan mental, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengendalikan Kursus Asas Haji dan Umrah bagi Tahun 1447H/2025M.

Kursus merangkumi enam (6) sesi yang diadakan pada setiap hari Ahad.  Setiap sesi berjalan selama dua (2) jam, dari pukul 8:00 hingga 10:00 pagi.  Sesi Pertama bermula hari ini, Ahad, 21 Rabiulawal 1447 bersamaan 14 September 2025 dan akan berakhir pada 27 Rabiulakhir 1447 bersamaan 19 Oktober 2025.  Kursus dikendalikan secara serentak di tujuh (7) buah masjid terpilih di keempat-empat daerah.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, kursus diadakan di empat (4) buah masjid iaitu Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri;  dan Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.

Di Daerah Belait, kursus dikendalikan di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; di Daerah Tutong bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong;  manakala di Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Pengkursus bagi Kursus Haji dan Umrah ini terdiri daripada penolong pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali; imam dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, pegawai-pegawai dari Pusat Da'wah Islamiah dan Kementerian Hal Ehwal Ugama yang telah bersara dan berkelayakan dengan Sijil Tauliah dari Majlis Ugama Islam Brunei.

Sehubungan dengan itu, bakal jemaah Haji yang terpilih dan akan menunaikan Fardhu Haji bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, serta bakal jemaah Haji yang dalam senarai menunggu untuk menunaikan Fardhu Haji, dan orang ramai yang berminat mendalami ilmu asas Ibadat Haji dan Umrah dan berhasrat untuk menunaikan Umrah adalah dialu-alukan untuk menghadiri Kursus Asas Haji dan Umrah Tahun 1447H/2025M ini.​