Tanjung Bunut, Ahad, 21 Rabiulawal 1447 bersamaan 14 September 2025–Lantikan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid yang baharu memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan masjid sentiasa relevan, teratur dan selaras dengan keperluan masyarakat. Ahli jawatankuasa yang dilantik bukan sahaja bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran dan kebajikan masjid, tetapi juga berperanan memperkasa masjid sebagai pusat perkembangan ilmu, dakwah, serta aktiviti sosial berteraskan syiar Islam.
Sehubungan dengan itu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut telah mengadakan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa Takmir Baharu bagi sesi 2025 hingga 2027. Majlis diadakan di masjid berkenaan pada malam tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan menyerahkan surat lantikan ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut.
Seramai 38 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa baharu bagi sesi 2025 hingga 2027.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Shahdon bin Awang Damit, Imam Tingkat II, Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut. Diikuti dengan ucapan khas daripada pengerusi majlis. Seterusnya, majlis menyaksikan penyerahan surat lantikan Ahli Jawatankuasa Takmir baharu bagi sesi 2025 hingga 2027. Dalam kesempatan yang sama, sijil penghargaan turut disampaikan kepada 39 orang Ahli Jawatankuasa sesi 2023 hingga 2025 sebagai pengiktirafan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan, sebelum diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan bacaan Doa Selamat.


Foto: JHEM