Belait, Sabtu, 21 Rabiulawal 1447 bersamaan 13 September 2025–Bagi memperkukuh penghayatan beragama serta menzahirkan kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Pengupayaan Muallaf) meneruskan lagi Majlis Berdikir Bersama Muallaf sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam pada pagi tadi bertempat di Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait.
Majlis Dikir Rombongan Pusat Da'wah Islamiah ini merupakan antara usaha berterusan Bahagian Pembangunan Muallaf dalam membimbing saudara-saudara baharu memperkukuh amalan keagamaan serta memperbanyakkan selawat sebagai manifestasi kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Dayang Hajah Zunainah binti Haji Gunong, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah. Turut hadir, para pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Kajian dan Penerbitan serta Pejabat Unit Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah, dan juga ahli-ahli Persatuan Sinar Islam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar, Pegawai Perkembangan Ugama (SkiPPA), Pusat Da'wah Islamiah.
Diikuti dengan Tazkirah bertajuk Meneladani Kepimpinan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Dalam tazkirah tersebut, beliau menekankan bahawa meneladani kepimpinan Rasulullah merupakan panduan penting dalam membentuk karakter seorang pemimpin yang berakhlak mulia, adil, prihatin dan bijaksana. Kepimpinan Baginda bukan sahaja relevan pada zaman silam, malah nilai-nilainya kekal sesuai dengan konteks moden termasuk dalam perkhidmatan awam.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Syarafil Anam dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Rushdi bin Abdullah Jantan, Guru Ugama Terlatih, Pusat Da'wah Islamiah.




Foto: PDI