Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH: MA’HAD ISLAM BRUNEI BAGI TAHUN 1447H / 2025M

13 September 2025

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH: MA’HAD ISLAM BRUNEI BAGI TAHUN 1447H / 2025M

Tutong, Sabtu, 20 Rabiulawal 1447 bersamaan 13 September 2025–Bagi memupuk minat, meningkatkan kemahiran dan mengukuhkan budaya bertutur dalam Bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, Ma'had Islam Brunei pagi tadi menganjurkan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) bertemakan "Ke Arah Pelajar Celik Sirah Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam" bertempat di sekolah berkenaan.

Hadir selaku Tetamu Khas, Yang Mulia Datin Hajah Umiyati binti Haji Mohammad Noor, Pemangku Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Antara pengisian atur cara termasuk perasmian program, pertandingan mengeja, persembahan tausyeh serta lawatan ke petak-petak permainan.   

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Rozilah binti Haji Mohd Noor, Pemangku Pengetua Ma'had Islam Brunei.

Program Hayya Ilal 'Arabiyyah merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pengajian Islam yang dikendalikan oleh sekolah-sekolah Arab. Ia bertujuan untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar melalui pendekatan yang menyeronokkan dan interaktif. Program ini juga menjadi platform praktikal bagi pelajar untuk mengaplikasikan Bahasa Arab dalam aktiviti kokurikulum, sekali gus meningkatkan keyakinan diri mereka dalam bertutur dan menggunakan bahasa tersebut secara aktif.

Semoga program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain ke arah melahirkan generasi muda yang fasih berbahasa Arab dan celik akan sejarah serta perjuangan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.​