Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MUNAJAT KHAS ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-198 BERSEMPENA HAFLUT TAKHARRUJ KALI KE-13 INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

13 September 2025

MUNAJAT KHAS ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-198 BERSEMPENA HAFLUT TAKHARRUJ KALI KE-13 INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 21 Rabiulawal 1447 bersamaan 13 September 2025–Menuntut ilmu sangat penting dalam Islam kerana ia merupakan salah satu tanggungjawab utama setiap Muslim.  Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim, (Hadith riwayat Ibnu Majah) menunjukkan betapa tinggi kedudukan ilmu dalam agama Islam. Dengan ilmu, seorang Muslim dapat memahami ajaran agama dengan benar, memperbaiki akhlak dan menjalani kehidupan yang berlandaskan syariat.  Selain itu, ilmu juga membantu meningkatkan keimanan dan memperkukuh hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala.  Oleh kerana itu, menuntut ilmu bukan sahaja sebagai kewajiban tetapi juga sebagai usaha untuk mendapatkan keberkatan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

Perkara tersebut antara yang dijelaskan dalam Tazkirah bertajuk Adab Menuntut Ilmu Dalam Islam" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah, Pegawai Pelajaran Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Ataci Pelajaran dan Kebudayaan, Pejabat Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir yang bersiaran dari Surau Darussalam, Republik Arab Mesir bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-198 bersempena Haflut Takharruj Kali Ke-13 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Acara Munajat malam tadi disemarakkan oleh tenaga akademik dan para graduan Diploma Tertinggi 'Aliyah Qira'at iaitu siswa dan siswi Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang bersiaran dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebagai tumpuan utama.  Turut serta, warga kerja Pejabat Kedutaan Negara Brunei Darussalam dan para penuntut Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir.  Juga menyertai, para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

Acara Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zul Husni bin Haji Sulaiman, Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Hamizan @ Ahmad Aliridha bin Haji Laidin, Graduan dan Penerima Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Mughni bin Haji Mohd Salleh, Graduan dan Penerima Biasiswa Sultan's Scholar Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  

Selepas Tazkirah, diteruskan dengan Selawat Tafrijiyyah daripada para siswa Diploma Tertinggi 'Aliyah Qira'at Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Soleh Ibrahimi bin Haji Aminorrashid, Graduan dan Penerima Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama bertujuan mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan melalui istighfar, membaca serta menghayati ayat-ayat suci Al-Quran dan merafakkan serta mengamiinkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari sebarang bala bencana dan penyakit merbahaya.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai acara Malam Munajat yang diadakan pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.