Bandar Seri Begawan, Jumaat, 19 Rabiulawal 1447 bersamaan 12 September 2025–Sebagai usaha berterusan memperkasa kefahaman dan penghayatan Surah Al-Fatihah dalam kalangan masyarakat, khususnya para peserta Kelas Al-Quran dan Muqaddam, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama beberapa Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid terpilih telah mengadakan Program Tadabbur Surah Al-Fatihah bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah 'A' menjadi masjid tumpuan bagi program ini yang dimudahcara oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohamad Ali, Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program ini turut diadakan di beberapa buah masjid lain iaitu Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan bersama Pentadabbur Yang Mulia Awang Mohd Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah; Masjid Kampung Batu Marang bersama Pentadabbur Yang Mulia Awang Muhd Zharfan bin Haji Awang Ahmad, Penolong Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Bagi Daerah Belait, diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait dengan Pentadabbur yang dijemput, Yang Mulia Awang Mohd Zulhilmi bin Mohd Jefri, Imam Tingkat III, Masjid Kampung Sungai Liang.
Di Daerah Tutong, program dikendalikan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai dengan mengundang Pentadabbur Yang Mulia Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin, Imam Tingkat I, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong selaku Pentadabbur. Masjid Kampung Telisai pula bersama Pentadabbur Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Abd Rahman, Imam Tingkat III, Masjid Kampung Danau.
Dan Daerah Temburong ianya bertempat di Masjid Kampung Selangan bersama Pentadabbur Yang Mulia Awang Mahdini bin Haji Kamis, Imam Tingkat I, Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Daerah Temburong.
Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk menambah pengetahuan mengenai kepentingan Surah Al-Fatihah dan terjemahaannya, di samping menggalakkan penghayatan serta mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian. Program ini turut dihasratkan dapat mendidik para peserta agar sentiasa mengamalkan bacaan Surah Al-Fatihah setiap kali hendak memulakan sesuatu majlis. Selain untuk mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan kanak-kanak Kelas Al-Quran dan Muqaddam, ianya juga bagi mengimarahkan masjid-masjid terpilih seluruh negara.




Foto: JHEM