Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS akan menganjurkan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah. Penyertaan Musabaqah ini dibukakan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap yang berugama Islam.
Sebanyak lima (5) kategori iaitu Kategori A,B,C,D dan E dipertandingkan dan setiap penyertaan hanya untuk satu kategori musabaqah sahaja mengikut syarat-syarat bagi setiap kategori:-
Kategori 'A' – Terbuka kepada peserta yang lahir pada tahun 2013 dan selepasnya (13 tahun ke bawah); Johan dalam Kategori 'A' tahun lepas (1446H) dikecualikan dari menyertai musabaqah pada tahun ini serta BUKAN terdiri dari penuntut sepenuh masa Institut Pengajian Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara semasa mendaftar dan tidak pernah menjadi Johan dalam Kategori 'C' 'D' dan 'E' semasa mendaftar dan menghantar borang permohonan. Menghafaz satu (1) Juz Al-Quran iaitu Juz 30 berserta Pemahaman Juz 30.
Kategori 'B' – Terbuka kepada peserta yang lahir pada tahun 2012 dan sebelumnya (14 tahun ke atas). Johan dalam Kategori 'B' tahun lepas (1446H) dikecualikan dari menyertai musabaqah pada tahun ini. BUKAN terdiri dari penuntut sepenuh masa Institut Pengajian Tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara semasa mendaftar serta tidak pernah menjadi Johan dalam Kategori 'C' 'D' dan 'E' dan bukan penerima elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam semua kategori Tasmie' semasa tarikh tutup borang penyertaan.
Menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Ar-Rahman, Surah Al-Waqi'ah, Surah Al-Jumu'ah, Surah Al-Mulk , Surah Al-Jinn dan Surah Al-Insan berserta Pemahaman Surah Nuh, Surah Al-Muzzammil, Surah Al-Muddatstsir, Surah Al-Qiamah dan Surah Al-Mursalat.
Kategori 'C' - Terbuka kepada semua peringkat umur. Johan dalam Kategori 'C' tahun lepas (1446H) dikecualikan dari menyertai musabaqah pada tahun ini. BUKAN penerima elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam semua kategori Tasmie' semasa tarikh tutup borang penyertaan dan tidak pernah menjadi Johan dalam Kategori 'D' dan 'E'. Menghafaz 4 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 4 berserta Pemahaman Surah Al-Hijr dan Surah An-Nahl.
Kategori 'D' – Terbuka kepada semua peringkat umur. Johan dalam Kategori 'D' tahun lepas (1446H) dikecualikan dari menyertai musabaqah pada tahun ini. Tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie' Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam kategori 20 dan 30 juz dan tidak pernah menjadi Johan dalam Kategori 'E'. Menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 15 berserta Pemahaman Surah Al-Ahqaf, Surah Muhammad dan Surah Al-Fath.
Kategori 'E' – Terbuka kepada semua peringkat umur. Johan dalam Kategori 'E' tahun lepas (1446H) dikecualikan dari menyertai musabaqah pada tahun ini. BUKAN terdiri daripada penerima Ijazah Khas Hafaz Al-Quran pada tahun 2016. Menghafaz 30 Juz Al-Quran berserta Pemahaman Surah Al-Maidah dan Surah Al-An'am.
Borang-borang penyertaan dibukakan kepada orang ramai bermula pada hari Isnin, 01 September 2025M dengan mengikut prosedur dan tatacara permohonan.
Bagi yang berminat dan berhasrat mendapatkan Borang Penyertaan Musabaqah tersebut, sila layari
https://tinyurl.com/mhq1447H atau imbas Kod QR yang tertera di Poster.
Sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi melalui talian 2233364 atau WhatsApp +673 720 4964 PPPQ MABIMS (KOMUNITI) atau layari Instigram: @pppq.mabims; facebook: pppq.mabims; telegram: pppq_mabims atau TikTok: pppq_mabims dan apliksi X @pppqmabimskheu.
Sila klik: MUSABAQAH MENGHAFAZ AL-QURAN BERSERTA PEMAHAMANNYA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1447 HIJRAH