Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA KERIAM, TUTONG TAHUN 1447H / 2025M

09 July 2025

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA KERIAM, TUTONG TAHUN 1447H / 2025M

Tutong, Rabu, 13 Muharram 1447 bersamaan 09 Julai 2025–Seramai 27 orang peserta Khatam iaitu 11 orang murid lelaki dan 16 orang murid perempuan diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran anjuran Sekolah Ugama Keriam, Daerah Tutong bertempat di Dewan Galaksi sekolah berkenaan.

Tujuan majlis diadakan adalah untuk menghargai murid-murid tersebut kerana telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran yang mana selaras dengan hasrat Kerajaan dalam melahirkan generasi celik Al-Quran, beriman, beramal dan bertaqwa.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Rahman, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan yang juga memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam.  Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Khairul Izzan bin Kamarul Ihsham.  Seterusnya, penyampaian sijil penghargaan kepada para peserta Khatam disempurnakan oleh Tetamu Kehormat diiringi oleh persembahan Dikir.  Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Awang Haji Saiful Rizal bin Haji Sabtu.

Kejayaan majlis seumpama ini juga adalah atas sokongan padu daripada para ibu bapa dan penjaga murid-murid. Ianya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuh penghayatan hidup beragama dalam kalangan murid-murid serta menyemarakkan syiar Islam di negara ini.​