Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS HAFL AT-TAKHARRUJ KE-31 SEKOLAH TINGGI ARAB HASSANAL BOLKIAH (STA HB) BAGI TAHUN 1447H /2025M

08 July 2025

MAJLIS HAFL AT-TAKHARRUJ KE-31 SEKOLAH TINGGI ARAB HASSANAL BOLKIAH (STA HB) BAGI TAHUN 1447H /2025M

Berakas, Selasa, 12 Muharram 1447 bersamaan 08 Julai 2025–Seramai 449 pelajar diraikan di Majlis Hafl At-Takharruj Kali Ke-31 Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah atas pencapaian cemerlang para pelajar berkenaan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan GCE 'A' Level 2024.  Majlis adalah juga sebagai pengiktirafan atas kejayaan serta usaha berterusan dalam melahirkan generasi pelapis yang berdaya saing dan berakhlak mulia bagi mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk melahirkan Rakyat Yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya.  Majlis diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada pagi tadi.

Seramai 367 orang pelajar menerima Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan 74 orang pelajar menerima sijil BC GCE 'A' Level. Dari jumlah tersebut, seramai 08 orang pelajar telah menerima kedua-dua sijil peperiksaan awam tersebut.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, Penolong Mufti (Ifta'), Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil.

Majlis Hafl At-Takharruj juga bertujuan untuk membarigakan dan memartabatkan pendidikan Islam dan Arab kepada masyarakat di negara ini; menzahirkan kegembiraan, kesyukuran serta penghargaan atas kejayaan pelajar-pelajar di dalam peperiksaan STPUB dan BCGCE 'A' Level serta memotivasikan para pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan di masa depan.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta tafsir.  Diikuti dengan Selawat Tafrijiyyah, Lagu Kebangsaan dan Lagu Rasmi Sekolah.  Seterusnya, ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad, Pengetua Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Majlis dan kemudiannya menyaksikan tayangan video.

Acara kemuncak ialah penyampaian sijil dan hadiah kepada pelajar-pelajar STPUB dan BC GCE 'A' Level, penyampaian Hadiah Anugerah Khas dan Hadiah Pelajar Mithali yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat.  Diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.​