Brunei Muara, Khamis, 15 Zulhijjah 1446 bersamaan 12 Jun 2025–Majlis Khatam Al-Quran sememangnya satu tradisi yang sangat bermakna dalam sistem pendidikan ugama di negara ini. Ia bukan sahaja menjadi simbol kejayaan murid-murid Darjah VI dalam melengkapkan bacaan 30 juzuk Al-Quran tetapi juga sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha mereka dalam memahami dan menghayati ajaran Islam. Ianya juga menjadi wadah untuk mendekatkan diri kepada Al-Quran yang mana para pembacanya memperolehi pahala dan rahmat berlipat ganda serta keberkatan dari sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Dengan kehadiran ibu bapa serta sokongan daripada pihak sekolah dan Jabatan Pengajian Islam, majlis sebegini turut berperanan dalam mengukuhkan semangat berugama dan membentuk generasi yang celik Al-Quran, beriman, beramal dan bertaqwa. Lebih daripada sekadar satu perayaan, ia adalah satu langkah penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan Islam dan penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian bagi generasi muda di negara ini.
Sehubungan dengan itu, Sekolah Ugama Awang Semaun petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di dewan sekolah berkenaan bagi meraikan seramai empat belas (14) orang perserta Khatam yang terdiri dari sembilan (9) orang murid lelaki dan lima (5) orang murid perempuan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Noor Rasidah binti Haji Sharbini, Pemangku Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam yang memulakan majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.
Diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam, disusuli dengan bacaan Takhtim dan bacaan Doa Khatam. Majlis juga diserikan dengan persembahan Dikir Asyaraqal. Diikuti dengan penyampaian Sijil Khatam oleh Tetamu Khas Majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Sementara itu pada masa yang sama, majlis serupa ini juga diadakan di Sekolah Ugama Sungai Besar, Kampung Sungai Besar bagi meraikan seramai 29 orang murid Darjah VI yang terdiri dari lima belas (15) orang murid lelaki dan empat belas (14) murid perempuan yang berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran mereka.
Hadir selaku Tetamu Khas di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Zaini bin Haji Awang Damit, Ketua Kampung Sungai Besar, yang juga memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah, dan kemudiannya menyampaikan sijil kepada para peserta Khatam di penghujung majlis.
Semoga usaha murni ini terus diperkasa dan memberi manfaat yang berpanjangan kepada generasi masa kini dan masa depan.