Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-180

26 April 2025

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-180

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 28 Syawal 1446 bersamaan 26 April 2025–“Wahyu yang pertama yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam semasa Baginda sedang bermunajat di Gua Hira ialah Surah Al-'Alaq: ayat 1 hingga 5 yang bermula dengan seruan Iqra iaitu Bacalah. Membaca adalah asas kepada kemajuan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.  Wahyu pertama ini adalah Rahmat yang terawal dan nikmat yang terawal yang dikurniakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada hamba -hamba Nya. Allah Subhanahu Wa Ta'ala memuliakan umat manusia ini dengan Ilmu yang membezakan manusia dengan makhluk–makhluk Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang lain."

Perkara tersebut antara yang disentuh dalam Tazkirah bertajuk “Iqra': Wahyu Pertama Ilahi" disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji 'Abdul Mu'iz bin Haji Amat, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Da'wah Daerah Temburong, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersiaran secara maya dari Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata bagi menyerikan lagi acara Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-180 pada malam tadi.

Acara Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Romeezy @ Abdul Qayyum bin Haji Metussin, Pegawai Pelajaran Kanan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Turut menyemarakkan acara Munajat malam tadi ialah pelajar-pelajar dan tenaga akademik Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara.  Juga, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama keluarga serta individu yang turut hadir secara maya dari kediaman masing-masing.  

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jufri, Naib Johan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, Johan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.  Sejurus selesai Tazkirah, diteruskan dengan bacaan Zikir Maghfirah Warrahmah beramai-ramai oleh pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari Musolla Institut tersebut.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid, peserta Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.