Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1446 HIJRAH / 2025 MASIHI (HARI KETIGA)

24 April 2025

MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1446 HIJRAH / 2025 MASIHI (HARI KETIGA)

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Berakas, Khamis malam Jumaat, 26 Syawal 1446 bersamaan 24 April 2025-Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.  Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dengan membawa tema “Akal Sihat Dengan Al-Qur'an".

Berangkat sama ke Majlis tersebut ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri;  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik;  dan  Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis tersebut dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi;   Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi;  Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengendali Bersama Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi;  Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II selaku Pengendali Bersama Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi serta Jawatankuasa Kerja Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.

Majlis dimulakan dengan bacaan daripada Qari Jemputan bersama keluarga dari Malaysia iaitu Ustaz Haji Azraie bin Dato' Haji Abdul Hak – Ayah;  Hajah Sarrul Munirah binti Haris – Ibu;  serta anak-anak iaitu Athirah binti Haji Azraie (21 Tahun);  Ahmad Asyraf bin Haji Azraie (20 Tahun);  Ahmad Abrar bin Haji Azraie (17 Tahun);  Arifah binti Haji Azraie (15 Tahun);  Ahmad Azfar bin Haji Azraie (13 Tahun);  Adirah binti Haji Azraie (9 Tahun);  dan Ahmad Ammar bin Haji Azraie (3 Tahun).

Majlis diteruskan dengan Sembah Alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.

Yang Berhormat Pehin antara lain menyatakan “Alhamdulillah, 'ibrah telah disampaikan dengan baik oleh enam orang pegawai muda dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Pada umumnya, 'ibrah atau pengajaran daripada ayat-ayat yang ditilawahkan oleh peserta-peserta musabaqah adalah mengilham dan menginsafkan untuk menjadi pegangan keugamaan dalam kehidupan individu, berkeluarga, bermasyarakat dan berpemerintahan dan bernegara, yang memandu dan mendorong ke arah kehidupan yang selamat dan sejahtera, berjaya dan cemerlang, baik dan seimbang bagi dunia dan akhirat.

Intipatinya ialah dalam kehidupan individu, berkeluarga, bermasyarakat, bernegara dan berpemerintahan hendaklah beriman dengan hanya bertuhankan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan dengan mensyukuri nikmat-nikmat yang dilimpahkan-Nya: iaitu menggunakan nikmat yang diberikan Allah dengan sebaik-baiknya untuk mendapatkan nilai tambah seperti yang Allah janjikan. Dan tidak mengkufuri nikmat iaitu mensia-siakannya dan menyalah-gunakannya yang akan menyebabkan ne'mat akan hilang dan mendatangkan penderitaan di dunia dan di akhirat.

Yang Berhormat Pehin menambah “bilangan keramaian kanak-kanak dan murid-murid yang dihantar oleh ibu bapa atau keluarga mereka belajar muqaddam dan Al-Qur'an di masjid-masjid seluruh daerah adalah terus meningkat. Misalnya sehingga pada bulan Februari tahun 2024 ada seramai 14,399 orang, dan menurut data keramaiannya pada bulan Februari tahun 2025 ini ada seramai 14,963 orang iaitu meningkat seramai 564 orang".

Oleh itu dapat dikatakan bahawa membaca Al-Qur'an adalah terus menerus dipelajari termasuk scara non formal di luar sistem persekolahan di peringkat kanak-kanak dan murid bahkan bagi orang-orang dewasa. Ini adalah menandakan suatu yang sangat positif di mana negara kita berada pada landasannya yang betul ke arah melahirkan rakayt dan penduduk yang celik al-Qur'an.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Titah di Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.

Seterusnya Pengumuman Keputusan Musabaqah yang disembahkan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji selaku Pengerusi Jemaah Hakim.

Majlis diikuti dengan persembahan bacaan Al-Qur'an oleh Johan Qari dan Johan Qariah Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.

Johan Qari disandang oleh Yang Mulia Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, dengan markah 92.58% ; Manakala Naib Johan Qari disandang oleh Yang Mulia Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri, dengan markah: 91.65% dan Tempat Ketiga disandang oleh Yang Mulia Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, dengan markah: 91.42%.

Johan Qariah pula disandang oleh Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki dengan markah 89.74%; Naib Johan Qariah disandang oleh Yang Mulia Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri dengan markah: 87.99% dan Tempat Ketiga ialah Yang Mulia Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat, memperolehi markah: 87.16%.

Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada Johan Qari dan Johan Qariah serta peserta-peserta, qari jemputan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi.

Johan Menerima Wang Tunai Tujuh Ribu Ringgit Brunei ($7,000); Pakej Haji bagi Kali Pertama Mendapat Johan: Piala Pusingan, Hadiah Iringan, Sijil Penyertaan; Pakej Umrah bernilai $5,000 sumbangan daripada Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad; Akaun Simpanan Tekad Haji berjumlah Lima Ribu Ringgit Brunei ($5,000) sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd., dan Darussalam Holdings Sdn Bhd; dan Sebidang Kain Tenunan Brunei sumbangan daripada Syarikat Little Ummi.

Naib Johan Menerima Wang Tunai Lima Ribu Ringgit Brunei ($5,000); Hadiah Iringan, Sijil Penyertaan; Akaun Simpanan Tekad Haji berjumlah Dua Ribu Lima Ratus Ringgit Brunei ($2,500) sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.; dan Tempat Ketiga Menerima Wang Tunai Tiga Ribu Ringgit Brunei ($3,000); Hadiah Iringan, Sijil Penyertaan; Akaun Simpanan Tekad Haji berjumlah Satu Ribu Lima Ratus Ringgit Brunei ( $1,500) sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.

Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan;  dan Brunei Shell Marketing Company Sendirian Berhad.

 

​Foto: PDI dan SkiPPA BPAAM