بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Pulaie, Khamis, 26 Syawal 1446 bersamaan 24 April 2025–Belia Muallaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia (PKB) Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama malam tadi mengadakan Program Hi-Class (Hidayah Class) 2025M bagi Siri Kedua (02) pada tahun ini bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Program ini adalah platform untuk meraih ilmu pengetahuan, meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan mempelajari sejarah Islam dalam membentuk pemikiran Islam yang holistik di samping mengambil pengajaran dari sejarah tamadun Islam untuk diterapkan ke dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim dan amalan sepanjang hayat.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah. Diteruskan dengan sesi perbincangan dan aktiviti-aktiviti bercirikan 'kebeliaan' agar pembelajaran lebih mudah dan menarik kepada belia Muallaf. Diikuti dengan ceramah bertajuk 'Kisah Kita Dulu, Inspirasi Kita Kini' disampaikan oleh penceramah undangan, Yang Mulia Awang Isham bin Ismail, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Antara pengisian ceramahnya ialah menceritakan sejarah kedatangan Islam di Brunei dan bagaimana Islam mula bertapak di Negara Brunei Darussalam dan mengetahui bagaimana islam berkembang di Negara Brunei Darussalam. Acara diakhiri dengan bacaan Tasbih Kafarrah, Surah Al-'Asr.





Foto: PDI