بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Rabu, 24 Syawal 1446 bersamaan 23 April 2025–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syar'iah mengambil perhatian serius terhadap pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia pada 21 April 2025 berhubung penarikan balik produk makanan daripada pasaran Indonesia yang didapati mengandungi DNA khinzir (porcine).
Berdasarkan siaran media rasmi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (https://bpjph.halal.go.id/detail/siaran-pers) hasil pemantauan bersama dengan Badan Pengawas Obat dan Makanan mendapati sebanyak 11 'batch' daripada 9 produk makanan telah dikesan mengandungi DNA khinzir (porcine) melalui analisis makmal. Daripada jumlah tersebut, 9 'batch' daripada 7 produk memiliki sijil halal, manakala 2 'batch' daripada 2 produk tidak memiliki sijil halal.
Sehubungan dengan itu, dan berpandukan kepada hasil pemeriksaan pihak Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal dan Badan Pengawas Obat dan Makanan tersebut, produk-produk tersebut dikategorikan sebagai syubhah dan perlu diasingkan serta tidak dipamerkan untuk jualan di ruang umum. Jabatan Hal Ehwal Syar'iah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal kini sedang giat menjalankan siasatan dan pemeriksaan ke pasar raya di negara ini dan kedai-kedai untuk memastikan jika produk-produk terbabit ada dijual di premis-premis berkenaan. Sampel produk-produk juga akan dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan untuk dianalisa bagi pengesahan lanjut kandungan produk.
Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah ingin menasihatkan kepada mana-mana pemilik perniagaan yang ada menjual produk-produk makanan tersebut di premis-premis mereka untuk segera mengasingkannya daripada ruangan jualan umum sebagai langkah berjaga-jaga agar masyarakat Islam tidak terbeli atau mengambil produk-produk terbabit.
Di samping itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin menasihatkan agar pihak syarikat sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan berwaspada serta memastikan terlebih dahulu maklumat makanan yang dibawa masuk ke negara ini untuk dijual kepada orang awam bagi mengelakkan masyarakat Islam terjebak memakan produk-produk yang tidak halal atau diragui kehalalannya.