بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Sungai Kebun, Ahad, 21 Syawal 1446 bersamaan 20 April 2025–Untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang sedia ada antara pegawai-pegawai Jabatan Pengajian Islam dengan guru-guru ugama di Kawasan Brunei IV di samping memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya Aidil Fitri, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei IV, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri bagi Guru-Guru Ugama Kawasan Brunei IV bertempat di Dewan Sekolah Menengah Awang Semaun, Kampung Sungai Kebun pada pagi tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara serta isteri dan juga Penghulu Mukim Lumapas.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Murni bin Haji Ibrahim. Diteruskan dengan ucapan daripada Yang Mulia Dayang Hajah Mu'izzah binti Kefli, Pegawai Pengajian Islam Daerah, Kawasan Brunei IV. Acara turut diserikan dengan persembahan dari guru-guru serta tayangan video.