بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Ahad, 21 Syawal 1446 bersamaan 20 April 2025–“Eidul Fitri bermaksud kembali kepada fitrah dan ia merupakan Hari Kemenangan bagi Umat Islam setelah berpuasa sama ada sebulan penuh atau 29 hari di bulan Ramadan. Hari Raya ini setahun sekali kita raiekan. Oleh itu, selaku Umat Islam janganlah cemari hari Raya ini dengan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala seperti membuat pesta atau melakukan perkara-perkara mungkar sehingga lupa dirinya baru sahaja selesai menjalani Ibadah Puasa di bulan Ramadan Al-Mubarak.b Di samping itu, amalan soleh yang dilakukan di bulan Ramadan perlu diteruskan juga di bulan ini seperti sedekah, solat fardhu berjemaah di Masjid, membaca Al-Quran Al-Karim, hadir Majlis Ilmu dan Zikir dan saling bermaaf-maafan dengan kunjung-mengunjungi ke rumah sanak-saudara dan rakan Taulan.
Perkara tersebut antara intipati Tazkirah bertajuk "Semarak Aidil Fitri" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hamzah bin Haji Jali, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei.
Beliau mengingatkan bahawa sewaktu berkunjung berhari raya, hendaklah sentiasa menjaga adab seperti tidak berkunjung sehingga lewat malam yang akan menyusahkan Tuan Rumah melayannya serta menjaga batas-batas pergaulan antara berlainan jantina seperti ketika bersalaman antara yang bukan mahram.
Seterusnya menambah supaya “jadikan Aidil Fitri sebagai wasilah (jalan) untuk mengeratkan silaturrahim sesama saudara Islam di samping menjaga solat fardhu lima waktu dengan mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam Hari Raya Aidilfitri.
Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak orang ramai bersama-sama hadir bagi memakmurkan masjid secara istiqamah (berterusan) dalam menunaikan Sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah di awal waktu kerana sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara persendirian.
Program tersebut juga memberi peluang dan kemudahan kepada orang ramai meraih keberkatan dengan hadir ke masjid untuk menunaikan tuntutan sembahyang fardhu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang, sebelum memulakan langkah dengan keceriaan seharian.