بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 12 Rejab 1446 bersamaan 11 Januari 2025–“Bulan Rejab merupakan satu dari empat bulan haram yang Allah Subhanahu Wa Ta'ala firmankan dalam surat at-Taubah ayat 36. Sayyiduna Ibnu Abbas menafsirkan ayat tersebut bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala memuliakan bulan-bulan tersebut berbanding-banding bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu, sangat-sangat ditekankan dengan kenyataan 'haram' dari melakukan sebarang dosa di dalamnya. Melakukan dosa di dalamnya akan dibalas dosa yang besar. Begitu juga, melakukan ketaatan di dalamnya, bakal memperolehi ganjaran yang besar. Oleh kerana itu, sebahagian ulama' khususnya ulama' mazhab Imam Asy-Syafie'e menghukumkan sunat untuk memperbanyakkan puasa di bulan ini. Begitu juga, meningkatkan amalan-amalan lain seperti menghidupkan malam-malam dengan berqiyamullail, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya."
Perkara tersebut antara yang disentuh di dalam Tazkirah bertajuk “Kelebihan Bulan Rejab" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Penolong Pensyarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi menyerikan lagi Malam Munajat Kali Ke-168 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara Munajat malam tadi mengundang Tetamu Khas, Yang Mulia Awang Haji Mohd Rudzaini bin Haji Mohammad, Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Turut mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah tenaga akademik dan para pelajar dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat yang berjumlah 65 buah di seluruh negara. Juga, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Rahim bin Haji Abas, Alumni Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Omar, Penolong Pensyarah, Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Surau Utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Zikir Al-Maghfirah Wa Ar-Rahmah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Zulhelmi Hashim bin Jainudin, Siswa Tahun 1, Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Zaidin bin Haji Mohd Noor, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.
Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.
