بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Tutong, Khamis, 09 Rabiulawal 1446 bersamaan 12 September 2024-Pusat Da'wah Islamiah melalui Unit Da'wah Daerah Tutong malam tadi mengadakan Majlis Malam Mencintai Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul bersama Muallaf dan Non-Muslim di Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong.
Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong. Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, para pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah serta para Muallaf dan Non-Muslim Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis. Diteruskan dengan Tazkirah bertajuk “Mengapa Kita Perlu Mencintai Rasullllah" disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Siti Noraziah binti Haji Asli, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong.
Disusuli dengan persembahan Selawat Tafrijiyyah, Qasidah Tolama Ashku, Qasidah Ya Hanana dan Dikir Asyraqal. Kemudiannya bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam bagi memberkati majlis dan diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Isya' berjemaah.
Selain untuk memeriahkan sambutan dan memperingati Maulidur Rasul, majlis juga bertujuan untuk menyampaikan syi'ar dan pendidikan Islam kepada masyarakat khususnya para Muallaf dan yang bukan beragama Islam (Non-Muslim) di samping untuk mengajak para Muallaf bagi sama-sama menghayati serta menzahirkan rasa cinta kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Foto: PDI