بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Khamis, 08 Rabiulawal 1446 bersamaan 12 September 2024–Majlis Doa Kesyukuran Sempena Haflut Takharruj Kali Kedua Belas Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah diadakan petang tadi di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Lembaga Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Turut hadir, Timbalan Menteri, Setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, jemputan-jemputan khas, serta warga kerja dan para graduan Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Rashid bin Haji Mohammad Saad, Pensyarah Diploma 'Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Seterusnya ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yussof, Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Majlis Sempena Haflut Takharruj Kali Kedua Belas Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Diikuti dengan penyampaian Anugerah Cemerlang Diploma 'Aliyah Qiraat (sila rujuk lampiran) dan penyampaian Sijil Penghargaan kepada penaja dan Ahli Jawatankuasa Haflut Takharruj Kali Kedua Belas Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Diakhiri dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Doa Kesyukuran oleh Yang Mulia Ustaz Dr. Sheikh Haji Mutiaa' Al-Kabbani Mahmoud, Pensyarah Diploma 'Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Antara tujuan majlis tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan meraikan kejayaan graduan-graduan yang telah menamatkan pengajian bagi Sesi Pengajian 2021-2024.