Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

LATIHAN PENUH MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1446 HIJRAH

12 September 2024

LATIHAN PENUH MAJLIS SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1446 HIJRAH

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Bandar Seri Begawan, Khamis, 08 Rabiulawal 1446 bersamaan 12 September 2024–Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, masyarakat Islam di Negara ini khasnya dan penduduk Islam Dunia amnya akan menyambut Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah.

Di Negara Brunei Darussalam yang majoriti penduduknya berugama Islam seperti lazimnya akan mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam secara besar-besaran bagi memperkembangkan dan menyebarkan lagi Syi'ar Islam di Negara ini di samping memperingati kelahiran Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pada setiap 12 Rabiulawal Tahun Hijrah.

Sehubungan dengan itu, Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal 1446 bersamaan 16 September 2024, pukul 7.00 pagi.

Bagi memastikan kelancaran sambutan itu nanti, Latihan Penuh (Rehearsal) bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah diadakan pagi tadi bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Hadir sama bagi menyaksikan Latihan Penuh pagi tadi ialah  Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah;  Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan selaku Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah;  Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan; Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dari Pengendali-Pengendali Bersama serta  Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, serta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.  Tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah ialah “Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam".

 

​Foto: i-Ready BPAAM​