بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Belait, Khamis, 09 Rabiulawal 1446 bersamaan 12 September 2024–Rombongan Dikir Bersama Muallaf Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam bagi Tahun 1446H/2024M yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Muallaf (Pengupayaan Muallaf), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama diteruskan lagi di Bangunan Persatuan Sinar Islam (PSI), Daerah Belait.
Majlis tersebut disertai oleh kira-kira 60 orang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Sinar Islam, para Muallaf dan penduduk kampung sekitarnya serta rombongan daripada Pusat Da'wah Islamiah yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Ruslan bin Haji Sulaiman, Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan dengan bacaan Surah al-Fatihah, dan diteruskan dengan tazkirah bertajuk “Contohi Akhlak Rasulullah Dalam Kehidupan" yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Da'wah Daerah Belait. Antara intipati tazkirahnya, Rasulullah Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam merupakan teladan utama dalam setiap aspek kehidupan seorang Muslim. Akhlak dan perilaku baginda tidak hanya memberikan panduan spiritual atau rohani, bahkan juga boleh menjadi contoh praktikal yang relevan untuk diterapkan dalam kehidupan seharihari.
Majlis diserikan lagi dengan Dikir Syarafil Anam dan diikuti dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis Dikir bersama Muallaf di pedalaman ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan para Muallaf melibatkan diri dengan aktiviti atau majlis keugamaan dan membesarkan Hari-Hari kebesaran Islam yang antaranya berlaku pada setiap 12 Rabiulawal Tahun Hijrah iaitu tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Foto: PDI