بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Tutong, Rabu, 08 Rabiulawal 1446 bersamaan 11 September 2024-Bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam rombongan Dikir Kementerian Hal Ehwal Ugama lewat petang tadi berkunjung ke Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong.
Mengetuai rombongan ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.
Majlis tersebut diadakan bertujuan untuk meraih rahmat dan keberkatan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dalam menyebarkan agama Islam. Di samping sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, ianya juga untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan jemaah masjid serta penduduk kampung di sekitarnya.
Dikir 12 Malam Berturut-Turut bagi Rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan diteruskan lagi pada hari Khamis, 12 September 2024 di Masjid Kampung Labu Estate, Daerah Temburong.
Foto: JHEM