Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ROMBONGAN DIKIR PUSAT DA’WAH ISLAMIAH BERSAMA MUALLAF DAERAH TUTONG SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI TAHUN 1446H/2024M

10 September 2024

ROMBONGAN DIKIR PUSAT DA’WAH ISLAMIAH BERSAMA MUALLAF DAERAH TUTONG SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM BAGI TAHUN 1446H/2024M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Tutong, Selasa, 7 Rabiulawal 1446 bersamaan 10 September 2024–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Pengupayaan Muallaf) meneruskan lagi program Rombongan Dikir Bersama Muallaf malam tadi di Masjid Kampung Bukit Udal, Daerah Tutong.

Majlis tersebut disertai oleh kira-kira 90 orang terdiri daripada para Muallaf dan penduduk kampung serta rombongan daripada Pusat Da'wah Islamiah yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis Dikir Bersama Muallaf di pedalaman ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan para Muallaf melibatkan diri mengikuti aktiviti atau majlis keugamaan dan membesarkan Hari-Hari Kebesaran Islam yang antaranya berlaku pada setiap 12 Rabiulawal Tahun Hijrah iaitu Tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Majlis disusuli dengan Tazkirah bertajuk “Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang Pemedulian Terhadap Umatnya" disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid, Penolong Pegawai Ugama, Unit Da'wah Daerah Tutong. Antara intipati tazkirahnya adalah Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam ialah seorang Nabi yang sangat peduli akan umatNya. Ketika Baginda Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam berdakwah ke Negeri Taif, ajaran yang dibawa ditolak oleh semua penduduknya. Bahkan Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam dihina dan dihalau keluar dari Taif dengan penduduknya melemparkan batu dan ranting sehingga Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam terluka. Baginda lalu meninggalkan Taif tanpa rasa marah malah mendoakan akan muncul dari Negeri Taif orang yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Baginda Juga tidak ingin umatNya ditimpakan azab sehinggakan Baginda sentiasa mengenang dan menyimpan satu doa yang mustajab untuk digunakan sebagai syafaat kepada umatNya di hari perhitungan nanti. Sifat Baginda yang sentisa peduli kepada umatNya ini perlu dicontohi oleh semua orang islam supaya tidak mementingkan diri sendiri dan semoga kita semua beroleh syafaat Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam dengan mencontohi akhlak mulia Baginda.

Majlis diserikan lagi dengan Dikir Syarafil Anam dan diikuti dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Acara diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Isya' berjemaah.

 

Foto: PDI