Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM PENGHAYATAN ISLAM DAN GOTONG ROYONG KEBERSIHAN BERSAMA MUALLAF

25 August 2024

PROGRAM PENGHAYATAN ISLAM DAN GOTONG ROYONG KEBERSIHAN BERSAMA MUALLAF

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​​

Negara Brunei Darussalam, Ahad, 20 Safar 1446 bersamaan 25 Ogos 2024–Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) dengan kerjasama Unit Da'wah Daerah Tutong, Unit Da'wah Daerah Belait, dan Unit Da'wah Daerah Temburong menganjurkan Program Penghayatan Islam Bersama Muallaf Sempena Ilal Hijrah Tahun 1446H/2024M.  Program tersebut diadakan secara serentak di keempat-empat daerah iaitu Pantai Muara, Daerah Brunei dan Muara; Pantai Seri Kenangan, Daerah Tutong; Taman Rekreasi Jubli Anduki, Daerah Belait; dan Balai Ibadat Kampung Semabat, Daerah Temburong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi Daerah Brunei dan Muara ialah Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama.   Di Daerah Tutong, Tetamu Kehormatnya, Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.  Manakala Tetamu Kehormat di Daerah Belait, Yang Berhormat Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Bukit Sawat.  Dan Tetamu Kehormat di Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Khairul Anwar bin Haji Juma'at, Pemangku Penghulu Zon 2 (Mukim Amo dan Mukim Bokok) / Ketua Kampung Rataie.

Objektif program adalah untuk mewujudkan iklim yang kondusif serta identiti seorang muslim yang mengutamakan dan mengamalkan kebersihan bagi mencapai kehidupan yang harmoni.  Di samping itu, untuk meningkatkan keperihatinan dan komitmen para Muallaf terhadap keindahan alam, menghargai kemudahan yang telah disediakan serta menanamkan rasa bersyukur di atas nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Antara pengisian acara program ialah bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.  Dimuatkan juga nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam “Allah Peliharakan Sultan", dan kemudiannya diserikan dengan Tazkirah bertajuk “Kepentingan Kebersihan Dalam Islam".  Turut diadakan senaman ringan dan diteruskan dengan sesi gotong royong kebersihan.

Program Penghayatan Islam ini turut disertai oleh para peserta Kelas Bimbingan Muallaf mengikut daerah masing-masing.  Dengan adanya program yang bermanfaat ini, diharap akan dapat meningkatkan semangat kerjasama padu antara para Muallaf dan warga Pusat Da'wah Islamiah dalam menggembeleng tenaga dan idea yang bersepadu ke arah merealisasikan keberkesanan aktiviti dan program.

​​

​Foto: PDI