Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MAJLIS KESEJAHTERAAN ORANG KELAINAN UPAYA (MKOKU) TAHUN 1445H/2024M

30 March 2024

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MAJLIS KESEJAHTERAAN ORANG KELAINAN UPAYA (MKOKU) TAHUN 1445H/2024M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

MADANG, Sabtu, 19 Ramadhan 1445 bersamaan 30 Mac 2024-Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Qur'an Tahun 2024 petang tadi bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Pengiran Anak Damit, Kampong Madang, Berakas.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ke majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam dan Datin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam. Diikuti dengan Bacaan Khatam Al-Qur'an beramai-ramai oleh 41 orang peserta Khatam Al-Qur'an yang terdiri daripada individu dengan kelainan upaya, ahli keluarga dan tenaga pengajar. 

Sejurus itu, Majlis diserikan dengan bacaan Takhtim dipimpin oleh tenaga pengajar perempuan Unit Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam dan Dikir Marhaban dipimpin oleh tenaga pengajar lelaki dari Unit Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Manakala doa khatam pula dibacakan oleh individu OKU Penglihatan, Yang Mulia Awang Md Hakim Imanuddin bin Asarwih dari Brunei Darussalam National Association for Blind (BDNAB).

Di majlis tersebut, Yang Berhormat Pehin juga berkesudian menyampaikan sijil-sijil kepada peserta khatam lelaki dan Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Hasbi, Isteri Yang Berhormat Tetamu Kehormat kepada peserta Khatam perempuan.

Bacaan Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dipimpin oleh Yang Mulia Cikgu Awang Sanip bin Haji Tarip, Guru Ugama Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Bengkurong.

Majlis tersebut diungkayahkan adalah untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala ke atas segala usaha MKOKU dan Persatuan-Persatuan melalui ketulusan hati OKU, Juga memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia, sihat wal'afiat dan kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala.

Ia juga diadakan adalah bagi memupuk semangat perpaduan dan persefahaman serta mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli-ahli MKOKU serta menanam minat dan cinta al-Qur'an dalam kalangan warga MKOKU selain merafa'kan kesyukuran ahli-ahli Persatuan-Persatuan OKU ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat dan nikmat-Nya dan atas kepedulian negara kepada warga berkelainan upaya di Negara Brunei Darussalam ini.

Turut hadir dalam Majlis berkenaan ialah Yang Mulia, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Setiausaha Tetap, Timbalan–Timbalan Setiausaha Tetap, Pengarah-pengarah, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya, Yang Dipertua-Yang Dipertua Persatuan-persatuan OKU yang bergabung dengan Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya, serta keluarga ahli-ahli persatuan yang bergabung dengan MKOKU.