بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
TEMBURONG, Rabu, 02 Ramadhan 1445 bersamaan 13 Mac 2024–Lebih 250 buah keluarga Muallaf di Negara Brunei Darussalam telahpun menerima sumbangan berupa makanan asasi melaui Projek Fathul Barakah 5.0 yang mana telah diungkayahkan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Persatuan Saudara-Saudara Baru, Negara Brunei Darussalam secara serentak di keempat-empat daerah dengan kaedah pandu lalu pada 17 dan 18 Februari 2024 yang lalu.
Penyerahan sumbangan Projek Fathul Barakah 5.0 dan buku Panduan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir (Siri Bimbingan Muallaf) dan Ratib al-Attas (Siri Bimbingan Muallaf) diteruskan lagi dengan mengunjungi ke kediaman 6 buah keluarga Muallaf yang memerlukan di kawasan pedalaman Daerah Temburong.
Hadir selaku Ketua Rombongan dan juga seterusnya menyempurnakan penyerahan tersebut ialah Yang Mulia Awang Harris Hamdillah bin Haji Masri, Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong.
Turut menyertai rombongan ini ialah Yang Dipertua Persatuan Saudara Baru Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Muhd Ashim Amrullah bin Abd Rahman.
Projek Fathul Barakah 5.0 bertujuan untuk membantu meringankan perbelanjaan dalam menyediakan keperluan harian keluarga Muallaf yang memerlukan. Ia juga merupakan salah satu dakwah 'bil hal' dalam memeduli perkembangan kehidupan dan kebajikan asnaf Muallaf supaya mereka dapat menjalankan ibadah dengan sempurna.
Selain itu, projek seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan ukhuwah antara persatuan-persatuan Muallaf seluruh negara bersama warga Pusat Da'wah Islamiah, dalam sama-sama mengungkayahkan kerja-kerja berkebajikan untuk kesejahteraan para Muallaf, khususnya di Negara Brunei Darussalam.




Foto: PDI