Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS MENDIRIKAN TIANG MASJID BAHARU RANCANGAN PERUMAHAN NEGARA KAMPONG RIMBA DAERAH BRUNEI DAN MUARA

20 February 2024

MAJLIS MENDIRIKAN TIANG MASJID BAHARU RANCANGAN PERUMAHAN NEGARA KAMPONG RIMBA DAERAH BRUNEI DAN MUARA

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​​

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 10 Sya'ban 1445 bersamaan 20 Februari 2024–Penduduk Rancangan Perumahan Negara Kampong Rimba dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dibina bersebelahan dengan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sehubungan itu, Majlis Mendirikan Tiang Masjid Baharu berkenaan diadakan pagi tadi. Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan laungan azan dan bacaan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai dipimpin oleh Awang Zulkifli bin Haji Murat, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien.

Majlis diteruskan dengan acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan dan diikuti oleh para jemputan khas yang lain.

Doa Selamat dibacakan oleh Awang Zulkifli bin Haji Murat, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien.  Di penghujung majlis, Tetamu Kehormat Bersama serta para jemputan yang hadir menyaksikan lebih dekat ciri-ciri reka bentuk bangunan masjid baharu tersebut yang dipamerkan.

Bangunan masjid baharu ini dijangka siap pembinaannya pada 09 November 2024 dengan menggunakan anggaran peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara yang berjumlah BND$ $3,577,473.40.

Keseluruhan kapasiti masjid baharu Rancangan Kemajuan Negara ini boleh menampung seramai kira-kira 1,500 orang jemaah.  Antara kemudahan yang disediakan di masjid ini termasuk Dewan Sembahyang Utama Lelaki, Dewan Sembahyang Perempuan, Bilik Kuliah, Bilik Perpustakaan, Bilik P.A. Sistem, Pejabat Imam dan Bilal, Tandas dan Tempat Berwudhu Lelaki, Tandas dan Tempat Berwudhu Perempuan, Tandas Orang Berkeperluan Khas Lelaki, Tandas Orang Berkeperluan Khas Perempuan, Bilik Pengurusan Jenazah, Bilik Stor, Dapur dan Tempat Letak Kereta Orang Awam serta Tempat Kereta Orang Berkeperluan Khas.

 



​Foto: i-Ready BPAAM