Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-133 SURAU LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA BRUNEI

04 May 2024

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-133 SURAU LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA BRUNEI

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​​

Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 25 Syawal 1445 bersamaan 04 Mei 2024–Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama diteruskan lagi malam tadi untuk Kali Ke-133 dan minggu ini mengundang Tetamu Khas, Yang Mulia Mejar (B) Rusli bin Bujang, Pengasas Empowerior Counseling selaku Yang Dipertua Persatuan Kaunseling Brunei (PERKAB) yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah serta menyampaikan Tazkirah dari Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Turut mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah ahli-ahli Persatuan Kaunseling Brunei (PERKAB); Penuntut Pembimbing Rakan Sebaya dari Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien; Jawatankuasa Takmir Masjid serta jemaah Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei serta beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat dari seluruh Negara berjumlah 68 buah.

Bersama menyemarakkan acara Munajat, warga kerja di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hanif bin Haji Sha'ari, Pegawai Ugama Kanan, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (Selaku Bendahari Persatuan Kaunseling Brunei (PERKAB).

Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pemangku Pengarah Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Menyerikan lagi Malam Munajat ialah Tazkirah bertajuk “Memaknai Kecerdasan Qalbu" disampaikan oleh Yang Mulia Mejar (B) Rusli bin Bujang, Pengasas Empowerior Counseling selaku Yang Dipertua Persatuan Kaunseling Brunei (PERKAB).

Antara pengisian Tazkirah menyatakan bahawa “Kaunseling, banyak melibatkan hati dan minda. Di dalam al-Qur'an kata "qalb" diulang-ulang sebanyak 132 kali manakala kata "aql" pula sebanyak 49 kali. Jelas betapa signifikannya qalbu atau hati sehingga diulang hampir 3 kali ganda banyaknya berbanding aql. Inilah antara celik akal berharga yang diperoleh kaunselor dalam proses membantu mensejahterakan klien mereka.

Tazkirah malam tadi juga mengetengahkan kekuatan atau kecerdasan qalbu (EQ & SQ) dari perspektif psikospiritual, sekaligus cuba memahami potensi luar biasa qalbu yang belum banyak diketahui kerana terlalu bergantung pada kecerdasan minda (IQ) semata-mata.

Pengisian tazkirah seterusnya menyingkap kepentingan kecerdasan qalbu secara saksama sebagai katalis ke arah kehidupan yang lebih bermakna terutama dalam misi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tazkirah juga membawakan satu bentuk introspeksi ke arah perwujudan menteliti atau pandangan yang saintifik dan holistik iaitu mengakhiratkan kehidupan peribadi dan profesional melalui kecerdasan qalbu.

Antara hikmah yg akan dipelajari ialah Prinsip dan konsep kecerdasan qalbu; Jalinan unik antara aspek kejiwaan (psikologi) dan kerohanian serta strategi praktikal membangunkan kecerdasan emosi dan kecerdasan qalbu.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh Yang Mulia Awang Muhammad Asnawi Safiuddin bin Ibrahim, Pembimbing Rakan Sebaya Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien Tahun 10A4.

Bagi mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk Bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.