Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PENGIRAN ANAK PUTERI HAJAH MASNA, KAMPUNG SG AKAR

04 May 2024

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA PENGIRAN ANAK PUTERI HAJAH MASNA, KAMPUNG SG AKAR

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​​

Sungai Akar, Sabtu, 24 Syawal 1445 bersamaan 04 Mei 2024-Seramai 109 murid Darjah 6 Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hajah Masna hari ini diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran setelah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 Juz.

Majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Norilham bin Haji Jais, selaku Tetamu Kehormat Majlis yang turut merenjis minyak wangi dan menyampaikan sijil Khatam kepada murid-murid yang diraikan.

Turut hadir, pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Guru-guru Besar Sekolah Ugama dan ibubapa serta penjaga peserta-peserta Khatam.

Majlis yang merupakan aktiviti tahunan sekolah berkenaan dihasrat akan dapat memberi galakan kepada murid-murid agar sentiasa membaca Al-Quran dengan betul dan lancar, di samping memastikan murid-murid dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum mereka menamatkan Darjah 6 persekolahan Ugama.

Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim oleh para peserta Khatam.

Manakala, Takhtim dibacakan oleh murid-murid Darjah 5 sekolah berkenaan.  Sementara, Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Nabilah Kamalia Amani binti Mohd Shah @ Muhd Lutfi Hadi, salah seorang peserta Khatam.

Majlis diserikan dengan laungan Dikir oleh murid-murid Darjah 5 sekolah berkenaan.  Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Cikgu Awang Haji Muhd Ehsan bin Haji Abd Salim.