بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kilanas, Rabu, 21 Syawal 1445 bersamaan 01 Mei 2024–Seramai 61 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah, Kilanas diraikan di Majlis Khatam Al-Quran petang tadi bertempat di Dewan Ar-Rahmah, Kompleks Mim-Nun Jaya, Jalan Bebatik-Kilanas, Kampung Kilanas.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Tetamu Kehormat Majlis, Ketua Kampung Kilanas, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Ameerolbahrynee bin Haji Abdul Hamid. Diikuti dengan bacaan surah-surah pilihan daripada para peserta Khatam.
Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan sekolah ugama berkenaan. Manakala bacaan Dikir oleh murid-murid lelaki juga dari sekolah yang sama. Acara diselajurkan dengan merenjis minyak wangian dan kemudiannya penyampaian sijil kepada peserta-peserta Khatam. Doa Selamat dibacakan oleh Yang Mulia Cikgu Awang Haji Mohd Shahrani @ Muhd Syahmi Aminuddin bin Haji Timbang @ Muhd Ismail.
Juga hadir di Majlis Khatam Al-Quran itu, para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, guru-guru besar serta para ibubapa dan penjaga peserta-peserta khatam.
Foto: JPI