Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ROMBONGAN PUSAT DA’WAH ISLAMIAH SEMBAHYANG SUNAT AIDILFITRI DI KAWASAN PEDALAMAN KAMPUNG BEBULOH

11 April 2024

ROMBONGAN PUSAT DA’WAH ISLAMIAH SEMBAHYANG SUNAT AIDILFITRI DI KAWASAN PEDALAMAN KAMPUNG BEBULOH

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

BRUNEI MUARA, Khamis, 01 Syawal 1445 bersamaan 11 April 2024–01 Syawal hari ini, berkumandang laungan takbir, tahlil dan tahmid menghiasi ruang angkasa Negara Brunei Darussalam menandakan puji syukur atas kurniaan Allah atas kesempatan menyambut hari kemenangan setelah mengharungi ujian Ramadhan dengan penuh sabar dan keimanan. 

Dalam sama-sama mensyukuri nikmat yang kita raikan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Da'wah Islamiah telah berkunjung ke Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh bagi sama-sama menunaikan Sembahyang Sunat Aidilfitri 1445H bersama para penduduk Kampung Bebuloh. 

Acara dimulakan dengan Sembahyang Sunat Aidilfitri, diimamkan oleh Yang Mulia Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah. Sejurus selepas itu, Khutbah Aidilfitri dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Penolong Pengarah, Pusat Da'wah Islamiah. 

Acara pagi ini juga diteruskan dengan penyerahan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 8 orang penerima. Penyampaian disempurnakan oleh Yang Mulia Pengarah Pusat Da'wah Islamiah. 

Antara tujuan aktiviti seumpama ini diadakan ialah untuk sama-sama memeriahkan dan menghidupkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Muallaf khususnya yang berada di pedalaman di samping mengeratkan silaturrahim antara Pusat Da'wah Islamiah dengan masyarakat di sekitarnya. Ianya juga merupakan salah satu sarana da'wah dan syi'ar serta menzahirkan rasa pemedulian pihak kerajaan khususnya Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama kepada para Muallaf yang berada di kawasan pedalaman.