Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

MENJAGA ALAM SEKITAR

​Muslimin yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala telah menciptakan alam ini dengan sangat indah, sempurna dan seimbang. Ia merupakan suatu anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang amat bernilai buat seluruh makhluknya khususnya manusia.
Kehidupan manusia mencari sejahtera dan makmur kerana alam ini dapat menyediakan tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian dan keperluan-keperluan asas lain buat mereka untuk hidup di muka bumi ini. Inilah bukti betapa Allah Subhanahu Wata'ala itu Maha Pemurah terhadap hamba-hambaNya.
Semua makhluk tidak kira manusia, binatang ataupun tumbuh-tumbuhan semuanya amat bergantung pada sumber-sumber semula jadi di muka bumi ini. Oleh yang demikian, Allah Subhanahu Wata'ala melarang kita melakukan sebarang kerosakan di muka bumi ini sama ada kerosakan kepada jiwa, harta benda dan alam sekitar. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Qasas ayat 77 tafsirnya:
“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) dunia. Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat kepadamu serta janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan."
Jemaah yang dirahmati Allah,
Kita sebagai manusia yang dikurniakan akal hendaklah memakmurkan, memanfaatkan serta menjaga bumi dan alam sekitar kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala ini dengan selayaknya, bukan melakukan kerosakan, pencemaran dan kemusnahan.
Sesungguhnya pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia adalah disebabkan oleh kerakusan dan kecuaian manusia itu sendiri, sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ar-Ruum ayat 41 tafsirnya:
“Telah nampak berbagai-bagai kerosakan didarat dan dilaut disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan (buruk) yang mereka telah kerjakan supaya mereka kembali (bertaubat)."
Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam kehidupan seharian kita, pengunaan bahan-bahan plastik mempunyai banyak kegunaan serta manfaatnya, dan ianya juga mudah diperolehi dengan harga yang murah. Walau bagaimanapun akibat terlalu bergantung kepada bahan-bahan plastik, telah mengakibatkan kesan negatif terhadap alam sekitar, sosial, ekonomi dan kesihatan di seluruh dunia.
Sebagai contoh, di seluruh dunia, satu juta botol plastik dibeli setiap minit, manakala lima trilion beg plastik digunakan setiap tahun. Secara keseluruhannya, secara purata, separuh daripada semua bahan plastik yang dihasilkan direka untuk tujuan sekali guna saja. Sisa plastik ini biasanya akan berakhir ditapak pelupusan sampah dan berkemungkinan besar mencemari alam sekitar sekiranya dibuang atau dibakar dengan sesuka hati.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir masyarakat kini yang kurang bertanggungjawab dengan membuang sampah sesuka hati di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Kita sering melihat sampah dari sisa plastik tersadai dan terapung ditebing ataupun dipinggir sungai yang mencemarkan keindahan alam sekitar dan secara langsung menjejaskan imej negara kita terutama sekali di mata para pelancong. Sisa plastik juga sering dilihat mengotori dan menyekat longkang-longkang yang mengakibatkannya tersumbat sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan dan terjadinya banjir.
Tabiat segelintir orang kini yang suka membuang bahan-bahan plastik sewenang-wenangnya sangatlah menyedihkan, walaupun banyak usaha telah dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkenan untuk mengatasi masalah ini. Sesungguhnya perbuatan merosakkan dan mencemarkan alam sekitar, sama ada secara senghaja atau tidak, adalah bercanggah dengan naluri manusia yang suka kepada kebersihan dan keindahan.
Maka untuk mengekalkan dan memelihara alam sekitar agar sentiasa indah dan damai, marilah kita memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan serta melindungi alam sekitar dari apa jua bentuk pencemaran dan kekotoran. Mudah-mudahan dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan kita, Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara yang indah, bersih dan bebas dari sebarang penyakit dan mara bahaya. Aamiin Ya Rabbal Alamin.
Surah Asy-Syuraa ayat 30 tafsirnya:
“Dan apa jua maksiat yang menimpa kamu maka ia adalah disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan-tangan kamu dan Allah mengampunkan sebahagian besar daripada dosa kamu."
 ​

Attachments